Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Sebanyak 47,371 saman trafik dibayar dalam tempoh 14 hari di 24 kaunter Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pahang sepanjang kempen pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata,  hampir 13,000 pengguna jalan raya berebut peluang melunaskan saman tertunggak masing-masing bermula pada 22 November hingga 6 Disember lalu.

“Daripada jumlah keseluruhan saman yang diselesaikan itu, sebanyak 31,841 dibayar melalui bayaran tunai dan 15,530 menerusi pembayaran elektronik atau e-bayaran.

“Bagaimanapun, pengurangan saman itu tidak terpakai bagi sembilan jenis saman iaitu saman tidak mematuhi lampu isyarat merah, lorong kecemasan, memotong secara berbahaya dan memotong di garisan berkembar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

Tambah Ramli, turut terkecuali ialah saman kemalangan, saman dalam perbicaraan mahkamah, saman tidak boleh dikompaun, saman berkaitan lori dan pengubahsuaian ekzos.

Kempen itu dilaksanakan bagi membantu meringankan beban orang ramai dalam tempoh pandemik Covid-19 selain menyelasaikan tunggakan saman yang terlalu banyak.

“Sambutan amat baik apabila orang ramai merebut peluang ini untuk melunaskan tunggakan saman dalam tempoh kempen tersebut dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula semalam hingga 12 Disember ini, polis Pahang turut membuka kaunter saman trafik menerusi Kempen Pengurangan Kompaun Saman 80 peratus. – MalaysiaGazette