konsep Keluarga Malaysia merupakan aspirasi jangka panjang yang kalis cabaran.- Gambar hiasan.

KONSEP Keluarga Malaysia mengetengahkan tiga ciri utama iaitu keterangkuman (inclusivity), kebersamaan (common ground) dan kesyukuran (contentment).

Semua ciri ini diperjelaskan lagi dengan 20 pengkayaan nilai-nilai yang kalis cabaran masa kini dan hadapan.

Pada masa ini negara masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang memerlukan perubahan cara hidup norma baharu berpandukan garis panduan yang digariskan oleh kerajaan.

Rakyat perlu akur dengan perintah kerajaan ini bagi menjamin kesihatan dan keselamatan bersama.

Di samping isu kesihatan, negara juga masih lagi dibelenggu
ancaman jenayah rasuah yang dilihat masih berleluasa.

Jenayah rasuah harus dibendung segera dalam usaha mengembalikan kepercayaan pelabur asing terhadap kemampuan Malaysia merancakkan pertumbuhan sektor-sektor utama negara secara telus (transparent) dan mampan.

Jelas sekali, jenayah rasuah merosakkan keharmonian rakyat dan menjejaskan kestabilan ekonomi negara.

Keterlibatan semua pihak merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum amat dititikberatkan dalam membantu negara mendepani cabaran ini.

Ternyata pembentukan konsep Keluarga Melaysia merupakan aspirasi yang sangat bertepatan dan boleh dijadikan sebagai panduan asas dalam usaha pencegahan jenayah rasuah.

Oleh itu, pelaksanaan ciri-ciri dan nilai-nilai dalam konsep Keluarga Malaysia diharap dapat memberi pendedahan dan pendidikan kepada rakyat agar sama-sama berganding bahu membina entiti keluarga yang utuh ibarat bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Pertama, ciri keterangkuman menyentuh tujuh daripada 20 pengkayaan nilai-nilai di bawah aspirasi Keluarga Malaysia.

Dalam konteks pencegahan rasuah, nilai penting yang perlu diterapkan bermula dari rumah ialah menjadikan integriti dan amanah sebagai budaya dalam keluarga.

Ahli keluarga yang berintegriti tinggi mendorong kepada kelakuan yang baik dan betul sekaligus menangkis sebarang anasir jahat termasuk rasuah.

Prinsip amanah perlu dipupuk dalam diri setiap ahli keluarga bagi membina satu kepercayaan yang tinggi bahawa setiap ahli keluarga mampu melaksanakan segala tugasan dengan jujur dan betul.

Anasir-anasir jahat yang cuba mempengaruhi ahli keluarga dapat ditepis dalam usaha mewujudkan sebuah entiti keluarga yang sejahtera.

Ciri kedua iaitu kebersamaan menekankan nilai-nilai penting antaranya rasa bertanggungjawab terhadap keluarga.

Lazimnya, dalam sesebuah keluarga setiap ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan terbentuknya entiti keluarga yang sempurna dan saling lengkap-melengkapi.

Ketua keluarga berperanan memimpin, menjaga dan melindungi ahli-ahli keluarga. Manakala ahli-ahli keluarga yang dipimpin perlu memberi kerjasama dan sokongan yang terbaik kepada ketua keluarga.

Kesatuan ini akan memudahkan semua ahli keluarga menyempurnakan tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Antara tanggungjawab penting yang perlu digalas secara bersama
ialah semua ahli keluarga perlu menjaga kehormatan dan maruah keluarga.

Ini kerana kehormatan dan maruah akan tercalar apabila terdapat ahli keluarga yang terjebak dengan jenayah rasuah atau yang seumpama dengannya.

Ciri yang ketiga iaitu kesyukuran menggariskan beberapa pengkayaan nilai termasuk pembudayaan amalan sihat fizikal dan mental dalam keluarga.

Misalnya, nilai ini boleh dikaitkan dengan pembentukan sikap diri dan emosi ahli keluarga terhadap rasuah. Ahli keluarga yang memiliki fizikal dan mental yang sihat tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan rasuah.

Menurut kajian, amalan rasuah memudaratkan kesihatan mental apabila ahli keluarga yang terdedah kepada kegiatan rasuah akan turut terdorong untuk melakukan perbuatan salah yang lain seperti mencuri, memeras ugut dan sebagainya.

Justeru, pembudayaan amalan sihat fizikal dan mental seperti beriadah bersama keluarga, mengamalkan pemakanan yang sihat atau mengikuti wacana keilmuan dikatakan dapat mencegah ahli keluarga daripada terjebak dengan jenayah rasuah.

Kesimpulannya, konsep Keluarga Malaysia merupakan aspirasi jangka panjang yang kalis cabaran.

Satu kesepakatan utuh yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum perlu diwujudkan dalam usaha menyelamatkan keluarga kita daripada pengaruh anasir jahat.

Semua pihak tanpa mengira pangkat dan usia disaran melaksanakan nilai-nilai dan ciri-ciri yang diaspirasikan dalam konsep Keluarga Malaysia.

Pelaksanaan ini secara tidak langsung memulihkan negara dengan mencapai status Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi.- MalaysiaGazette


Hafizah Marzuki merupakan Staf Pengurusan dan Profesional di Universiti Sains Islam Malaysia.