Kes buli sekumpulan pelajar berlaku di sekolah asrama di Perak tular di media sosial dikecam netizen media sosial.

KUALA LUMPUR – Tujuh orang pelajar yang disyaki terlibat dalam kes buli seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar Perak telah dikesan dan dipanggil polis hari ini.

Ketua Polis Perak Komisioner Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis telah mengesan satu rakaman video yang telah tular berkaitan insiden pergaduhan dan membuli pelajar yang dikenalpasti berlaku di salah sebuah sekolah berasrama penuh di daerah Kuala Kangsar pada jam 11.30 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut sebenarnya berlaku pada Khamis jam lebih kurang 1 tengah hari hingga 2 petang membabitkan tujuh orang suspek remaja dan seorang mangsa berusia 13 tahun.

“Pihak polis juga mengesahkan bahawa telah menerima satu laporan polis berkaitan pergaduhan berkenaan daripada pengetua sekolah pada hari ini jam 1 tengah hari tadi selepas video insiden itu tular di media sosial, sekaligus mendapat perhatian netizen,” ujar beliau dalam kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Tambah Mior lagi, polis mengambil tindakan segera berpandukan laporan polis itu dengan memanggil kesemua pelajar yang terlibat dalam insiden itu termasuk pemilik akaun media sosial terbabit yang menularkan video pergaduhan tersebut bagi membantu siasatan polis.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Video insiden kes buli berdurasi 10 saat yang tular di media sosial mendapat kecaman warga netizen sehingga ada yang meminta polis supaya menahan kesemua pelajar melakukan perbuatan itu sebagai memberi pengajaran kepada mereka tanpa kompromi.-MalaysiaGazette