Antonio Conte. Foto The Mirror.

LONDON – Perlawanan Liga Persidangan Europa antara Tottenham Hotspur dan Rennes yang telah ditangguhkan selepas 13 individu dalam kelab England itu positif Covid-19 tidak akan dijadualkan semula.

Menurut Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), aksi melibatkan kedua-dua pasukan itu sepatutnya berlangsung pada Khamis lalu namun ditangguhkan selepas skuad Antonio Conte menjadi mangsa pandemik.

Namun Rennes pula mengkritik Spurs atas keputusan yang dibuat secara unilateral itu.

Keputusan aksi membabitkan kedua-dua pasukan itu akan ditentukan oleh Badan Kawalan Etik dan Disiplin Kesatuan Bola sepak Eropah (Uefa) pada minggu depan.

Dalam kenyataannya, UEFA menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan kedua-dua kelab itu untuk mencari jalan bagi menjadualkan semula perlawanan ditangguhkan itu.

“Malangnya, walaupun berusaha sedaya upaya, kami gagal mencari penyelesaian memanfaatkan kedua-dua kelab itu sekaligus mengakibatkan perlawanan itu tidak dapat diteruskan semula,” kata UEFA.

Aksi itu merupakan terakhir untuk kedua-dua pasukan diperingkat kumpulan G yang perlu diharungi sebelum 31 Disember ini.

Rennes sudah mara ke pusingan kalah mati sebagai pemenang kumpulan G sementara Spurs menduduki tempat ketiga dalam kumpulan sama iaitu tiga mata di belakang Vitesse yang menewaskan NS Mura pada Khamis lalu.

Naib Johan kumpulan G pula akan layak ke pusingan kelayakan untuk mengesahkan tempat di pusingan kalah mati kelak.- Agensi