Nur Jazlan Mohamed, foto Arkib MalaysiaGazette
JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Pas tidak layak untuk menentukan hala tuju UMNO.
Jelas beliau, parti itu sebaliknya harus lebih relevan dan menerima kenyataan bahawa UMNO merupakan parti yang dominan.

“Mereka mahu bersama UMNO kerana kita lebih besar dan kuat, tetapi mereka kena ikutlah permintaan kita. Kalau kata tidak mahu boleh ikut jalan sendiri.

“Pas ini sebenarnya saya hairan, sebenarnya siapa parti lebih dominan dalam negara kita. Mereka ini sebenarnya tidak tahu kelemahan mereka dan untuk itu mereka juga hanya mahu kita menaungi mereka.

“Jadi jika mereka mahu bersama kita (UMNO), sepatutnya mereka ikut cara kita dan akur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rakyat Perling di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi laman Facebooknya berkata, UMNO dan Pas tidak lengkap  tanpa kerjasama Bersatu.

Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa, perkara itu dilihat Melayu dan Islam bukan sahaja melibatkan parti UMNO dan Pas, malahan Bersatu yang merupakan parti besar dalam politik negara.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, jika Pas berterusan enggan menerima keputusan UMNO maka adalah lebih baik jika diputuskan hubungan dengan parti itu dan tiada masalah di pihak UMNO.

Beliau berkata, UMNO Pulai juga akan mengusulkan untuk kita tidak lagi bersama Pas di dalam mesyuarat UMNO bahagian nanti. – MalaysiaGazette