Foto hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 17,885 kertas undi pos dikeluarkan kepada mereka yang berhak untuk mengundi secara pos dalam Pilihanraya Negeri Sarawak kali ini.

Kertas undi pos itu dikeluarkan seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 34, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 bagi PRU DUN Sarawak Ke-12.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos pada 8 – 10 Disember 2021 dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di kesemua 82 kawasan DUN di negeri tersebut.

Kesemua 17,885 kertas undi pos tersebut terdiri daripada 16,728 kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media) dan 365 undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara).

Sementara itu, 679 kategori Borang 1C (9 Agensi dalam Sektor Keselamatan & Kesihatan) dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Beliau berkata demikian dalam dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.

Menurut Ikmalrudin, proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

Tambahnya, SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN berkenaan sebelum jam 5.00 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 18 Disember 2021 (Sabtu).

“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast