Amirudin Shari

KLANG – Kerajaan Selangor tetap meneruskan pemberian bantuan sekolah yang mencecah RM24 juta setahun kepada 637 sekolah pelbagai jenis meskipun negara menghadapi pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, bezanya pada tahun ini, penyaluran bantuan sekolah itu terpaksa dibuat secara satu sesi berbanding dua sesi sebelum pandemik melanda negara.

“Kalau dulu, memang ada dua sesi kita bagi pada April atau Mei manakala satu sesi lagi pada September atau November sebab kita nak tengok permohonan demi permohonan.

“Tapi disebabkan oleh kekangan pandemik kita hanya boleh melakukan mesyuarat dan pertemuan untuk mengenal pasti penerima-penerima pada akhir tahun sebagaimana yang kita buat pada tahun lepas.

“Kita bagi sekali ini sebab kesannya Covid-19, dulu kalau dua kali setahun kadang-kala ada yang terlepas memohon,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Persendirian Ping Hwa di sini hari ini.

Bagi 2021, jumlah agihan Bantuan Sekolah di Selangor melibatkan RM9 juta kepada 137 sekolah, terdiri daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Persendirian Cina.

Manakala jumlah keseluruhan agihan Bantuan Sekolah bagi 2021 adalah sebanyak RM23,209,732 yang kini sedang diagihkan kepada 637 buah sekolah di seluruh Selangor.

Dalam pada itu, katanya, memandangkan penyaluran bantuan sekolah itu dibuat secara satu sesi pada tahun ini, jumlah dana juga dilebihkan bagi memastikan tiada sekolah yang tercicir daripada mendapat manfaat itu.

“Kali ini kita agak lewatkan tarikh tutup permohonan, jadi masih lebih kurang sama, paling tidak kita agihkan keseluruhan bajet, kalau lebih pun dalam RM300,000.

“Kita boleh agihkan nanti kalau ada permohonan yang terdekat yang sempat kita laksanakan,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penyaluran dana itu akan kembali secara dua sesi pada tahun hadapan memandangkan negara akan memasuki fasa endemik Covid-19.

“Dulu masalah kita nak berkumpul pun susah, nak dapatkan permohonan pun susah, mungkin hantar secara fizikal permohonan.

“Jadi kita beri ruang yang lama sebab kita tak nak ada yang tercicir. Dengan adanya dua sesi, ada pusingan kedua boleh dibuat penyerahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast