Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin (dua kiri) meluangkan masa selama dua jam untuk berjumpa para pengunjung pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia benar-benar bermanfaat kepada pengunjungnya hari ini.

Ini kerana reruia atau booth Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi tumpuan apabila menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin meluangkan masa kira-kira dua jam bagi mendengar semua persoalan daripada pengunjung.

Bukan hanya graduan, pelajar malah ibu bapa turut mengambil kesempatan meluahkan sendiri masalah yang mereka dihadapi kepada menteri.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, pengunjung tidak melepaskan peluang bertemu Radzi untuk mendengar sendiri jawapan daripada orang nombor satu dalam kementerian.

 

Nurfatheenasyrafi Jamarudin. Foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2021.

Seorang graduan pendidikan, Nurfatheenasyrafi Jamarudin, 25, mengambil peluang bertemu menteri bagi meluahkan berkaitan perkara pengambil guru baharu.

“Saya bukan nak mengadu tetapi mahu menteri mempertimbangkan dan memberi ruang semula graduan ijazah pendidikan untuk temu duga bagi pengambilan guru-guru.

“Saya berharap agar tidak akan ada lagi isu graduan pendidikan yang tercicir untuk bergelar guru selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Muhammad Fawwaz Rajah. Foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2021.

Bagi seorang pelajar, Muhammad Fawwaz Rajah, 18, dia rasa bertuah dapat mengajukan pendapatnya terhadap penggunaan buku teks secara digital kepada Radzi.

“Saya melihat bagaimana transformasi buku teks secara digital sangat baik. Dengan mengimbas kod pengimbas yang disediakan, ia telah memudahkan pelajar untuk memahami dengan lebih jelas penjelasan dalam setiap topik.

“Tidak hanya itu, buku teks digital memberi banyak bantuan khususnya dalam keadaan pandemik Covid-19 yang mana kita tak dapat pergi sekolah,” katanya.

Jelasnya, pelajar hari ini lebih-lebih lagi yang akan memgambil peperiksaan SPM kerana dapat menggunakan kod pengimbsas dalam buku teks.

“Masa saya, tak ada lagi, jadi ia memang bermanfaat dan interaktif dalam transformasi pendidikan di negara kita,” katanya.

Diviya Yeesvaran . Foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2021.

Seorang lagi graduan, Diviya Yeesvaran, 23, kesempatan bertemu menteri digunakan sebaik-baiknya dengan mengajukan pertanyan mengenai sistem pendidikan di Malaysia.

“Apakah hal tuju pendidikan kita dan apakah pada masa depan pendidikan kita mampu setanding dengan negara maju yang lain?

“Saya juga mahu tahu sistem pendidikan kita menjamin bidang pekerjaan apabila tamat pengajian. Apakah bidang yang kami pilih itu nanti akan membuka lebih banyak ruang pekerjaan atau ia masih lagi bergantung kepada industri,” katanya.

Jelasnya, perkara ini penting untuk memastikan generasi Malaysia bukan hanya mampu menjadi pekerja terbaik tetapi graduan yang mampu bekerja dalam sektor yang bagus.

Sayzleey Zalysyam Zakaria.  Foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2021.

Mewakili golongan ibu bapa, Syazleey Zalsyam Zakaria,44 berkata, pertemuan dengan menteri merupakan saat yang dinanti-nantikan.

“Sistem pendidikan kita terangkum daripada sekolah rendah hingga menengah di bawah KPM. Saya ada cadangkan agar KPM boleh memulakan pembelajaran daripada peringkat awal lagi.

“Anak-anak generasi sekarang ini, lahir-lahir dah terdedah dengan skrin, sudah pegang gajet. Jadi, pembelajaran harus dimulakan seawal tiga tahun,” katanya.

Jelasnya, pandangan itu diterima baik oleh menteri dan akan dibawa ke peringkat seterusnya.

“Beliau (Radzi) sangat terbuka dan mengakui apa yang saya ajukan itu perlu dilakukan dan dikaji semula,” katanya.

Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari menyajikan pelbagai kementerian yang menyantuni setiap pengunjung.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast