Radzi Md Jidin RMT Supplementary Food Programme white rice with gravy
Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan tegas jika mendapati kes buli berlaku di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tiada kompromi jika terdapat mana-mana murid atau pelajar yang melakukan hal demikian.

“Saya merupakan bekas murid asrama maktab tentera. Sejak hari pertama saya lapor diri di kementerian, saya sudah nyatakan kita tidak boleh bertoleransi dengan kes-kes pukul dan buli seperti ini.

“Ianya merupakan pendekatan yang boleh memberi kesan amat besar kepada anak-anak kita di asrama.

“Kami di asrama tahulah keadaan itu dan saya tidak mahu perkara sama yang pernah dilalui berterusan,” katanya ketika ditemui ketika meluangkan masa dua jam di reruai KPM bersempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Radzi berkata, KPM sentiasa memberi perhatian dan tidak mengambil mudah terhadap kes-kes seperti ini.

“Pada masa ini KPM sedang mengadakan sesi libat urus berkaitan satu konsep iaitu ‘Sekolahku Sejahtera.’ Konsep ini ada banyak elemen penting dalam kehidupan yang akan diterapkan dalam diri anak-anak di sekolah.

“Antara elemen paling penting yang akan diterapkan adalah bagaimana menjadikan sekolah tempat yang selamat. Itu adalah penting, murid datang ke sekolah dan tahu mereka dilindungi,” katanya lagi.

Jelasnya, program ‘Sekolahku Sejahtera’ akan dilancarkan pada awal tahun 2022.

“Antara perkara lain yang akan diterapkan adalah elemen rasional di mana anak-anak tidak didedahkan dengan perkara ini. Mereka tidak ditekankan apakah kesan jika melakukan perbuatan mereka jika terus dilakukan,” katanya lagi.

Radzi berkata, isu Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain dijadikan sebagai contoh terbaik dalam setiap libat urus yang diadakan.

“Kita melihati tiada sikap rasional kepada mereka yang terlibat dan salah satu elemen lain adalah sikap empati. Dalam kes memukul sebagai contoh, seolah-olah yang lain-lain itu tidak ada rasa kasihan kepada yang kena pukul.

“Tidak ada rasa perbuatan itu sebenarnya tidak betul. kerana itulah empati itu perkara yang akan ditekankan dalam kalangan kanak-kanak di peringkat awal,” jelasnya.

Beliau juga berkata, konsep atau program ‘Sekolahku Sejahtera’ bukanlah penambahan silbus atau mata pelajaran tetapi lebih kepada penerapan jiwa yang perlu diterapkan.

“Dalam konteks ini, penerapan jiwa itu amat penting. Sebanyak mana mata pelajaran, kalau tiada perkara ini, mereka tidak akan membawa kefahaman ini ketika mereka membesar kelak.

“Ada 14 elemen yang boleh digunakan oleh para guru dalam sesi mendidik jiwa anak murid ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Buli: 6 pelajar MRSM digantung serta merta juga dicadang diberhentikan