Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berucap pada Majlis Rumusan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia menerima sambutan luar jangkaan apabila lebih 103,000 pengunjung hadir sepanjang empat hari program tersebut berlangsung.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, jumlah itu melebihi 400 peratus sasaran awal, iaitu 20,000 pengunjung untuk keempat-empat hari berkenaan.

“Ini bukti program AKM ini mendapat sambutan begitu baik daripada orang ramai,” katanya ketika berucap pada majlus penutup dan rumusan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Menurut beliau, susulan sambutan luar biasa ini, maka Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di peringkat negeri akan diteruskan untuk meneruskan momentum dan kesinambungan aspirasi Keluarga Malaysia.

Jelas Zuki, ini bagi membolehkan rakyat memahami dan menghayati aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memulihkan semula ekonomi dan kehidupan yang terkesan akibat Pandemik Covid-19.

“Penganjuran pelbagai program dan inisiatif seumpama ini juga akan diteruskan melalui sesi libat urus bersama rakyat dengan segmen perkhidmatan yang sama untuk Keluarga Malaysia di seluruh negara,” tambah beliau.

Beliau berkata, sepanjang program ini berlangsung, sebanyak 31 booth pameran kementerian yang terdiri daripada 26 Kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, terdapat 102 jualan gerai usahawan termasuk aktiviti seperti pameran Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia, Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, Diskaun Saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) & Jabatan Pengangkutan Jalan (JP.J), Sukan Rakyat dan pertandingan e-sukan atau e-Sport menjadi tarikan utama para pengunjung.

Kata Zuki, Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia telah menawarkan 24,136 pelbagai jawatan daripada 75 majikan.

Manakala Program Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia pula telah memberi peluang kepada terutamanya lebih 5,000 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), para pelajar dan ibu bapa yang hadir untuk mendapatkan maklumat, mendapatkan tawaran secara langsung selain menerima bantuan berbentuk komputer riba, bantuan tunai, pelan data dan lain-lain lagi. – MalaysiaGazette