CANBERRA – Australia akan memendekkan masa menunggu untuk orang ramai menerima dos penggalak vaksin Covid-19 berikutan peningkatan kes varian Omicron.
Sebelum ini, Australia berkata ia akan menawarkan penggalak Covid-19 kepada semua orang yang berumur 18 tahun ke atas dan yang mendapat dos kedua vaksin enam bulan sebelumnya.
Tetapi dengan peningkatan kes varian Omicron, Menteri Kesihatan Australia Greg Hunt berkata, selang masa akan dipendekkan kepada lima bulan selepas dos kedua.
“Dos penggalak, lima atau lebih bulan selepas dos kedua, akan memastikan perlindungan lebih kuat dan tahan lebih lama serta dapat membantu mencegah penyebaran virus,” kata Hunt dalam satu kenyataan.
Australia akan menggunakan kedua-dua vaksin daripada Pfizer dan Moderna dalam program penggalaknya.
Negara ini adalah salah satu negara yang populasinya paling banyak divaksinasi, dengan kira-kira 90% orang yang berumur lebih dari 16 tahun telah disuntik sepenuhnya.
Namun, Australia berkata, setakat semalam, sebanyak 1,753 kes Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, meningkat kira-kira 3% pada minggu lalu dan jumlah harian tertinggi sejak 29 Oktober 2021. – Reuters















