Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Karnival Kerjaya pada hari terakhir ia beroperasi sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kesukaran mencari pekerjaan berikutan pandemik Covid-19 yang menyaksikan banyak syarikat terpaksa menghentikan operas masing-masing merupakan cabaran besar buat graduan yang baru menamatkan pengajian.

Mereka juga terpaksa bersaing di pasaran kerja dengan pekerja-pekerja yang telah diberhentikan akibat pandemik yang telah memberi kesan kepada seluruh dunia.

Perkara itu diakui pensyarah sebuah pusat pengajian swasta, Izanoordiana Amir yang melihat sendiri senario sekarang ini amat berbeza dengan keadaan sebelum pandemik melanda dunia dan Malaysia khususnya sejak dua tahun lalu.

Ketika ditemui di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ni, Izanoordiana berkata, beliau hadir bersama rakan-rakan untuk melihat pelbagai peluang yang ditawarkan kerajaan sepanjang empat hari berlangsungnya pameran.

Izanordiana Amir

“Hari ini saya datang menemani beberapa orang kawan, bagus inisiatif kerajaan tolong rakyat cari kerja kerana memang sukar sangat. Saya sendiri nasihatkan pelajar saya supaya dengan cepat siapkan resume dan mohon mana-mana yang dapat.

“Malah di universiti tempat saya mengajar ramai yang berebut hantar resume, minta masuk program internship kemudian serap jadi kerja tetap, memang takut juga tengok keadaan seperti ini.

“Cepat-cepatlah ambil peluang seperti ini dapatkan kerja untuk anda dan masa depan yang baik,” ujarnya yang ditemui di ruang pameran MYFutureJobs anjuran Perkeso .

Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang tidak melepaskan peluang meninjau peluang pekerjaan, Nurasyikin Rossiti berkata, pekerjaannya sekarang yang berstatus kontrak dan berdasarkan projek menyebabkan beliau perlu meneroka peluang-peluang lain.

Nurasykin Rossiti

“Projek ini akan tamat pertengahan tahun depan tapi keadaan susah masa ini hendak cari kerja, sebab itu saya datang cepat-cepat bila ada kawan kata karnival cari kerja,” jelasnya.

Baginya insiatif kerajaan mewujudkan platform MYFutureJobs dengan peruntukan tambahan menerusi Belanjawan 2022 telah membantu banyak pihak yang berdepan kesukaran mencari pekerjaan terutama mereka yang benar-benar memerlukan sumber kewanga untuk menampung kehidupan seharian

Nurasyikin juga melahirkan harapan supaya lebih banyak pameran seumpama ini diadakan terutamanya di luar Kuala Lumpur bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini dan berurusan terus dengan majikan-majikan yang membuka peluang pekerjaan.

Di bawah Belanjawan 2022 kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM4.8 bilion untuk membantu mewujudkan kira-kira 600,000 peluang pekerjaan bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Peruntukan tersebut meliputi subsidi upah dan juga insentif kepada syarikat-syarikat untuk menggaji pekerja baru dan juga bagi modul kemahiran semula serta pengecualian cukai.

Usaha ini terbahagi kepada tiga teras utama iaitu Jamin Kerja, MySTEP da pelbagai program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran.

Sementara itu antara majikan menyertai karnival pekerjaan sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia termasuklah Gerbang Alaf, Starbucks Malaysia, Prasarana,Dhir dan Partners Sdn Bhd, Secret Recipe Cakes & Cafe Sdn Bhd, CFM Engineering Hardware (M) Sdn Bhd, Malaysia Automative Robotics And IOT Institute (MARii) dan Projek Belia Mahir serta banyak lagi.

Karnival ini juga menyediakan kaunter perkhidmatan kaunseling kerjaya, kaunter penghasilan resume dan selain pelbagai insentif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada pemohon.
Antaranya ialah Insentif SIP Prihatin 2.0 yang menawarkan insentif Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sebanyak RM300 sebulan untuk tempoh dua bulan kepada pencari kerja. – MalaysiaGazette