Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. foto MOHD ADZLAN, 23 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – “Boleh selamatkan lagi hubungan Muafakat Nasional (MN), ia masih hidup lagi,” demikian menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjawab pertanyaan media mengenai kedudukan MN yang ditubuhkan bersama UMNO pada 14 September 2019.

Menurut beliau, gabungan tidak rasmi itu masih boleh diselamatkan dan tidak mati seperti yang didakwa.

“Tidak dikuburkan,'” katanya dalam sidang media sempena sambutan 70 tahun Pas di Terengganu, hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian bagi mengulas pertanyaan media sama ada gabungan MN antara Pas dan UMNO masih boleh diselamatkan.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, hubungan Pas dengan UMNO masih baik, malah hubungan kedua-duanya adalah berlandaskan kepada parti dan bukannya individu semata-mata.

“Hubungan secara umum dengan UMNO masih baik, bukan (atas dasar) individu, kita anggap UMNO sebagai parti bukan sebagai individu.

“Antaranya kerjasama mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional, UMNO sama-sama terlibat, UMNO belum tarik diri lagi.

“Mereka tidak tarik diri, dalam Kabinet,” ujarnya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak memperincikan individu yang dimaksudkan beliau pada sidang media itu.

Ditanya mengenai kenyataan beliau sebelum ini yang mendakwa UMNO yang melanggar piagam MN, Abdul Hadi menafikan perkara itu dan berkata, ada individu dalam UMNO yang bertindak melanggar piagam yang digubal oleh kedua-dua parti tersebut.

“Saya tidak kata UMNO, saya kata ada orang yang langgar, bukan UMNO. Bukan atas parti UMNO, Majlis Tertinggi dia bukan seorang, tapi ramai.

“UMNO secara kolektif bukan parti yang bergerak atas individu,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas menyerahkan kepada UMNO untuk membuat keputusan mengenai kedudukan MN pada masa akan datang.

Jelasnya, perkara itu terpulang kepada UMNO yang akan mengadakan Perhimpunan Agungnya (PAU) pada 13 Januari depan.

“Itu terpulang, mesyuarat lah. Walau bagaimanapun Pas itu pendirian sebagai mana saya sebutkan tadi,” jawab Hadi ketika ditanya mengenai masa depan MN yang mungkin akan diputuskan pada perhimpunan tahunan tersebut.

Pada 6 Disember lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sudah berusaha mengekalkan kemuafakatan dalam MN bersama Pas termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun parti itu mendakwa ia bertepuk sebelah tangan.

Malah Ahmad Zahid berkata, pimpinan Pas sering menyatakan sokongan kepada MN, tetapi menolak pelawaan UMNO untuk berpadu atas nama MN pada PRN Melaka. – MalaysiaGazette