Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. Foto FAREEZ FADZIL, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Nama dua ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low masih belum disenarai dalam Notis Merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, permohonan itu telah pun dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun nama Nicky dan Jho Low masih tidak dimasukkan dalam senarai individu dikehendaki.

“Kita telah pun membuat permohonan untuk ‘Red Notice’ namun saya diberitahu ia belum muncul dalam Interpol atas sebab-sebab yang kurang jelas.

“Saya akan dapatkan pengesahan lanjut mengenai perkara ini berikutan permohonan Notis Merah dalam Interpol perlu mematuhi beberapa protokol,” katanya pada sidang media selepas sesi walkabout sempena hari terakhir 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Pada 15 April lalu, PDRM dalam proses untuk mendapatkan notis merah bagi memohon bantuan Interpol dalam usaha menjejaki Nicky.

Nicky yang dikehendaki polis dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang akan dijalankan ke atasnya ekoran pembabitan dalam sindiket Macau Scam.

Sementara Jho Low pula menjadi buruan ekoran terlibat dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad.

Untuk rekod, notis biru berfungsi untuk mengesan lokasi keberadaan suspek manakala notis merah pula membolehkan permohonan dibuat kepada Interpol bagi memberkas suspek. – MalaysiaGazette