Sebahagian penduduk Taman Melawati yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan kerosakan jalan raya akibat projek pembetungan yang didakwa bermasalah.

KUALA LUMPUR – Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man digesa untuk campur tangan dan segera kerja-kerja pembetungan yang terhenti sejak empat tahun lalu sehingga menghantui penduduk Taman Melawati, dekat sini.

Kegagalan oleh Puncak Niaga Construction Sdn Bhd (PNCSB) sebagai perunding projek yang dimulakan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) ketika itu menyebabkan penduduk berdepan dengan masalah jalan raya yang rosak.

Kerosakan jalan raya di kawasan itu menyebabkan banyak kemalangan berlaku sejak empat tahun lalu.

Pada masa ini, projek yang tidak dapat diselesaikan itu sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) di bawah bidang kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air pula.

”Kami amat kecewa menyaksikan episod kerja menaik taraf pembetungan yang terbantut dan tidak progresif serta tidak berkesudahan, mengakibatkan keadaan jalan yang teruk yang berbahaya bagi pemandu dan pejalan kaki,” kata Azhari Abd Taharim, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati.

Jelas beliau, selama ini, penduduk Taman Melawati terpaksa mendengar janji-janji kosong yang diulang-ulang oleh PNC dan JPP.

Ini menunjukkan pihak berkenaan nampaknya tidak serius untuk menyelesaikan masalah besar ini.

”Projek infrastruktur awam ini dijangka disiapkan oleh PNCSB pada 2018 dan kini sudah lama tertunggak kerana tahun ini ia sepatut diselesaikan,” ujarnya.

Azhari berkata, walaupun terdapat tiga pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berbeza terlibat, tiada apa yang dapat diselesaikan kerana tiada satu pun daripada mereka menunjukkan komitmen yang jelas untuk menyiapkan ‘projek sakit’ di Taman Melawati ini.

Oleh itu, beliau meminta Kementerian Alam Sekitar dan Air memuktamadkan penyelesaian projek pembetungan yang terbengkalai ini dengan segera.

Jelas beliau, walaupun tarikh baharu telah diberikan untuk menyiapkan projek, pihaknya tidak yakin ia akan menjadi kenyataan.

Ini kerana, sejarah telah membuktikan bahawa semua janji yang diberiakan adalah sia-sia.

Oleh itu, persatuan menuntut PNCSB mematuhi tarikh akhir dan menyiapkan kerja di semua tapak sedia ada.

“Kami mahu kawasan-kawasan yang ditutup dibuka dan menutup lubang-lubang di atas jalan raya (di pintu masuk ke Taman Melawati dan di hadapan Anjung Melawati) supaya pemanduan orang ramai selamat.

“Kontraktor hanya boleh mengali lubang-lubang hanya apabila kerja-kerja sebenar hendak dijalankan semula,” ujarnya.

Azhari mahu garis masa terperinci projek sehingga siap mnepati tarikh akhir terkini, serta laporan kemajuan terperinci daripada PNCSB diserahkan setiap kali mesyuarat.

”Sekiranya PNCSB tidak dapat mendapatkan bajet daripada Kerajaan Persekutuan termasuk daripada JPP atau kementerian untuk menyiapkan projek tersebut, kami menuntut agar JPP dan menteri berkenaan mengarahkan PNCSB membaiki, membetulkan dan menambah baik jalan di Taman Melawati seperti yang asal dan tinggalkan kami dengan tenang,” tegasnya. – MalaysiaGazette