Para peniaga kelihatan mengambil kesempatan menjana kembali pendapatan selepas kerajaan memberi kelonggaran kepada orang ramai sempena Belanjawan 2022 yang akan memberikan fokus kepada rakyat berikutan masih ramai yang terkesan akibat daripada pandemik Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui, pandemik Covid-19 telah menjejaskan pelbagai sektor perniagaan sama ada syarikat besar mahupun kecil-kecilan.

Sejak itu, banyak syarikat mula buang pekerja dan tidak kurang yang gulung tikar.

Rohani Ariffin, 54, mengakui kesempitan suaminya untuk berniaga terhenti.

“Macam mana nak berniaga kalau tak ada duit, kan. Tapi Alhamdulillah, suami makcik dapat bantuan untuk mulakan perniagaan.

“Kami dapat RM500 yang kerajaan masukkan pada bulan Oktober dan sekali lagi pada bulan November lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelasnya, duit itu akan digunakan untuk berniaga dan menaikkan ekonomi mereka sekeluarga.

“Makcik tak dapat bantuan warga emas, tapi dapat bantuan berniaga ni pun dah bersyukur-syukur sangat.

“Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan nasib rakyat. Dengan bantuan ini, dapatlah bernafas sikit,” katanya.

Bajet 2022 menerusi Skim Semarak Niaga Keluarga Malaysia – Kemudahan Peralihan Kepada Rendah Karbon, dana pembiayaan padanan dana bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) meningkatkan amalan lestari dan rendah karbon.

Kadar pinjaman sehingga lima peratus setahun dengan amaun sehingga RM5 juta dan tempoh 10 tahun.

Tidak hanya perniagaan, penjawat awam juga tidak pernah tidak, mendapat manfaat daripada Bajet 2022 ini.

Napidi Ahmad

Bagi Napidi Ahmad, 50, yang merupakan penjawat awam, bantuan ini sangat membantu lagi-lagi baginya yang berpendapatan rendah.

“Terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan penjawat awam.

“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu orang macam saya,” katanya.

Jelasnya yang berharap bantuan seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Sekarang ni ramai orang susah, ramai peniaga yang masih mahu mulakan perniagaan.

“Kerajaan yang prihatin ini, banyak membantu kami,” katanya.

Dalam Bajet 2022, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta RM350 kepada sejuta pesara kerajaan. – MalaysiaGazette