Bank Negara Malaysia due diligence land purchase procurement Lot 41 1MDB rationalisation plan
Bank Negara Malaysia. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) tidak melaksanakan ketekunan wajar secukupnya dalam pembelian sebidang tanah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, perolehan tanah dengan butiran geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) itu dibuat melalui bidang kuasa BNM dan Kementerian Kewangan (MOF).

Perkara itu merupakan hasil lima rumusan daripada prosiding oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada pada 20 September 2021 lalu selepas memanggil empat individu.

Mereka ialah Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi), Patimah Ramuji; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Ia sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Disember 2020.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat iaitu empat bulan.

Katanya, kesemua ini membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan.

Ujar beliau, harga perolehan tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan oleh Tetuan Suleiman & Co. adalah tinggi.

Manakala penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang berdasarkan status hak milik yang sedia ada iaitu Kategori Kegunaan Tanah “Tiada”, Syarat Nyata “Tiada” dan zoning institusi dengan nisbah plot 1:2 adalah sebanyak RM1.42 bilion.

Pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah dari “Tiada” kepada “Bangunan” dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Malaysia Space Agency (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu.

Malah, katanya, BNM tidak pernah merancang untuk membeli tanah di Lot 41 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) sebelum tawaran dikemukakan oleh Kementerian Kewangan.

Malah, perancangan perolehan tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka masa panjang.

Kah Woh menambah, penjualan tanah Lot 41 kepada BNM oleh kerajaan melalui Syarikat SPV, Hartanah Mampan Sdn. Bhd. untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1MDB.

Pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion itu dibuat oleh BNM pada 19 Disember 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Disember 2017 (RM1.035 bilion).

Hasil itu telah digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Disember 2017.

Menurut Kah Woh, sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan dua perkara kepada kerajaan untuk dilaksanakan ialah membenarkan BNM membuat keputusan berkaitan pelaburan serta pembangunannya bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan bank pusat itu perlu  segera menyelesaikan isu penukaran Kategori Kegunaan Tanah dan pecah sempadan tanah Lot 41.

Tambahnya, rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan Tanah Lot 41 perlu dimuktamadkan. – MalaysiaGazette