Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang jururawat kehilangan RM30,000 dalam akaun simpanan selepas menyerahkan kod kebenaran transaksi (TAC)  kepada individu tidak dikenali yang mendakwa tersalah mendaftar nombor telefon dalam kejadian di Temerloh, Pahang.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa telah menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) penolakan RM15,000 daripada dua akaun miliknya setelah menyerahkan kod tersebut pada Sabtu lalu.

“Suspek tidak memperkenalkan diri telah meminta pengadu untuk memberikan TAC Bank Rakyat yang baru diterima oleh pengadu dengan alasan individu tersebut telah tersalah mendaftar nombor telefon kepada nombor telefon pengadu.

“Kemudian pengadu telah menghantar enam mesej TAC tersebut kepada suspek dan selepas itu, pengadu telah menerima mesej dari bank rakyat bahawa ada penolakan dari akaun.

Tambah Mohd Wazir, pengadu berusia 48 tahun itu membuat semakan dan mendapati wang simpanan Bank Rakyat pengadu berjumlah RM 15,000 telah ditolak.

“Pada masa yang sama wang Tabung Haji pengadu yang dihubungkan kepada akaun Bank Rakyat pengadu juga menerima penolakan sebanyak RM15,000.

“Apabila pengadu telah menyedari dirinya telah ditipu, pengadu hadir ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya menerusi kenyataan.

Ujar Wazir, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette