Dominic Lau Hoe Chai. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai isu penggunaan penyepit sebagai analogi untuk menggambarkan cabaran asimilasi kaum bukan Melayu di Malaysia adalah sesuatu yang tidak patut dikeluarkan.

Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kenyataan pemimpin utama parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu boleh memecahbelahkan hubungan antara kaum di negara ini.

“Kenapa perlu bangkitkan isu sedemikian, Malaysia sudah lama hidup dalam satu masyarakat majmuk. Ini keunikkan Malaysia.

“Malah semua anak Malaysia menerima di bawah perkara 3 (1) perlembagaan memperuntukkan ‘Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dominic berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Perdana menteri itu semalam yang berpendapat penggunaan penyepit sebagai analogi untuk menggambarkan kegagalan kaum Cina untuk berasimilasi di negara ini.

Malah Mahathir juga dilaporkan berkata, orang Cina telah mengekalkan budaya dan cara hidup mereka di Malaysia, dengan menyebut penggunaan penyepit dan bukannya ‘mengguna pakai cara rakyat Malaysia’ dengan tangan.

Dalam pada itu, Dominic berkata, Perkara 152 juga sudah tertulis Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan juga tiada seorang yang boleh mencabar atau menghalang daripada mengajar atau menggunakan bahasa lain sebagai mana yang tertulis dalam Perlembangaan Persekutuan.

Tambah Senator Dewan Negara itu, bangsa, budaya dan agama boleh musnah jika sikap tidak hormat itu hilang dalam diri rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan Dr. Mahathir menunjukkan contoh teladan yang bijak dan baik dalam politik kerana sudah dua kali jadi Perdana Menteri dan memegang tampuk tertinggi di Malaysia selama 22 tahun.

“Beliau seorang ahli politik yang disegani dan dihormati di Malaysia mahupun luar negara. Tetapi saya pelik kenapa kenyataan ini dikeluarkan.

“Kesimpulannya saya ingin mengatakan menghormati antara satu sama lain merupakan kunci utama ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu,” katanya. – MalaysiaGazette