Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya akan memasang lampu jalan solar LED di jalan luar bandar, jalan kampung dan jalan yang tiada bekalan elektrik.

Timbalan Menterinya, Arthur Joseph Kurup berkata, penggunaanya lampu ini boleh mengurangkan pelepasan karbon, mengurangkan kes vandalisme ke atas aset kerajaan. dan tiada bil elektrik, sekali gus dapat mengurangkan kos.

Jelas beliau, sejak 2018 lagi Jabatan Kerja Raya (JKR) telahpun melaksanakan inisiatif penggunaan tenaga hijau bagi lampu-lampu jalan LED untuk projek jambatan di jalan-jalan persekutuan.

“Pihak JKR juga telah melaksanakan pemasangan lampu jalan solar LED di kawasan perbandaran seperti di Negeri Selangor yang mempunyai kejadian kecurian kabel yang tinggi.

“Selain jalan raya, inisiatif yang sama juga digunakan untuk papan tanda jalan raya di lokasi yang bersesuaian.

“Walau bagaimanapun pemasangan lampu ini bergantung kepada keperluan terutama bagi tujuan memberi amaran awal kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan,” katanya ketika menjawab soalan di dewan rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pensiangan itu menambah, bermula April lalu melalui inisiatif Solar Energy Purchasing (SEP), pihaknya akan memperluaskan pemasangan solar panel di bangunan Kementerian KKR dan JKR Malaysia yang terpilih seluruh Malaysia.

“KKR telah melaksanakan inisiatif penggunaan tenaga hijau dalam bangunan melalui pemasangan solar panel. Pada masa ini, pemasangan solar panel di bangunan Kompleks Pejabat KKR (Blok A) dan Kompleks Ibu Pejabat JKR (Blok A dan C) telah dijalankan melalui inisiatif SEP yang telah dilancarkan pada 16hb Mac lalu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (BN-Temerloh) berhubung inisiatif penggunaan tenaga hijau (solar) bagi lampu jalan (LED) dan papan tanda jalan raya selain dari penggunaannya di bangunan milik dan kelolaan Kementerian Kerja Raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast