KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohd Firdaus Sulaiman yang meninggal dunia di Hospital Segamat, jam 4.10 pagi tadi.

Menerusi Facebook beliau, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Allahyarham cedera ketika operasi kebakaran kilang pada 11 Disember lalu.

”Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham dan semoga tabah dalam dugaan yang dihadapi ini. Allahyarham adalah wira di hati Keluarga Malaysia dan pengorbanan dari seorang wira pastinya akan dikenang sampai bila-bila.

”Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” ucap beliau.

Dalam kejadian 11 Disember itu, Allahyarham melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di kilang memproses habuk kayu.

Kejadian itu turut mencederakan rakannya. – MalaysiaGazette