Pusat Penyelidikan Dato Panglima Kinta Eusoff yang baru dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pusat Penyelidikan Dato Panglima Kinta Eusoff yang diwujudkan di Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) akan berperanan sebagai pusat sehenti untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

Naib Canselor UM Professor Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, pusat penyelidikan itu juga akan menjadi hab pengenalan kepada mesin imbasan tiga dimensi (3D), iaitu salah satu inisiatif Jabatan Ortopedik Surgeri, Fakulti Perubatan UM.

Oleh itu, beliau berharap Pusat Penyelidikan Dato Panglima Kinta Eusoff  akan beroperasi dengan baik agar kerja-kerja penyelidikan dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan efisien.

”Dunia berdepan dengan banyak cabaran global pada masa akan datang – perubahan iklim, urbanisasi yang pesat, penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, kanser, kesihatan mental, serta penyakit berangkit yang baharu mahupun sedia ada.

”Semua ini sudah pastinya akan melibatkan penyelidik perubatan yang bersemangat dalam meningkatkan kualiti dan taraf hidup kepada yang lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis perasmian Pusat Penyelidikan Dato Panglima Kinta Eusoff.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Canselor universiti tersebut perkenan merasmikan Pusat Penyelidikan Dato Panglima Kinta Eusoff.

Menurutnya, pembinaan pusat penyelidikan ini tercetus daripada sumbangan seorang Alumni UM iaitu Datin Ragayah Mohd Eusoff pada awal 2019.

Kemudian, Ragayah memeterai memorandum perjanjian bersama-sama universiti tersebut untuk menubuhkan Pusat Penyelidikan Dato Panglima Kinta Eusoff. –
MalaysiaGazette