Dr. Mohd Yadzil Yaakob

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka baharu berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman itu dibuat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang meletakkan jawatan pada 26 November lalu.

“Dr Mohd Yadzil yang telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November yang lalu, adalah merupakan Ketua Bahagian Bersatu Jasin dan Timbalan Pengerusi PN Negeri Melaka.

“Berkelulusan Ijazah Perubatan dari Universiti Udayana Indonesia, beliau pernah berkhidmat di Hospital Melaka dari tahun 2005 hingga 2009 sebelum menjadi Pegawai Perubatan di Poliklinik Hidayah, Jasin,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dilantik sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka yang baharu.

“Pelantikan Dr Mohd Yadzil dan Mas Ermieyati bagi menerajui Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka serta penyusunan semula Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka diyakini dapat memperkuatkan struktur parti dan memperkukuhkan lagi perkhidmatan parti kepada rakyat negeri Melaka khususnya,” katanya.

Mohd Rafiq sebelum ini berkata, peletakan jawatan ini bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka supaya mempunyai masa yang cukup bagi membuat segala persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Peletakan jawatan itu juga. kata Mohd Rafiq, bagi membolehkan segala fokusnya diberikan untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu.

Pada PRN Melaka bulan lalu, Mohd Rafiq yang bertanding di DUN Telok Mas memperoleh 3,976 undi sekali gus tewas kepada calon Barisan Nasional, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang mendapat 6,052 undi. – MalaysiaGazette