murder case debt loan Bidor oil palm estate Perak Police Chief, Datuk Mior Faridalathrash Wahid students die of Covid-19 vaccine SMK Tasek Damai
Mior Faridalathrash Wahid.

IPOH – Tegur rakan tonton video lucah menjadi punca pelajar sekolah berasrama penuh Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar di sini dibuli pada 9 Disember lalu.

Ia disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Jelas beliau, punca kejadian itu diperoleh selepas pihaknya merakamkan keterangan daripada mangsa buli berusia 13 tahun itu.

“Hasil temubual mangsa mendapati pergaduhan serta dia dibuli selepas menasihati salah seorang suspek tidak menonton video lucah melalui telefon bimbit.

“Mangsa turut mengatakan akan mengadu kepada guru atau warden sekiranya tidak berhenti menonton video lucah tersebut.

“Keadaan itu membuat enam suspek marah sebelum seorang pelajar Tingkatan 3 mengarahkan enam suspek untuk menumbuk serta menendang mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak Tahun 2021 di Pasir Salak hari ini.

Tambah Mior Faridalathrash, sehingga kini, seramai 10 individu termasuk mereka yang bersubahat sudah ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapan mereka selesai dirakam.

“Kita juga merakamkan keterangan lapan saksi ekoran daripada video yang tular di Twitter dan Facebook baru-baru ini. Dalam kes ini, kita turut rampas 11 telefon bimbit untuk dihantar ke unit forensik bagi melihat kandungan di dalamnya.

“Kita akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut sebaik selepas semua siasatan selesai,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai keadaan mangsa, Mior Faridalathrash berkata, pelajar itu masih menerima rawatan di sebuah hospital di Selangor dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Pegawai perubatan turut mengesahkan mangsa tidak mengalami sebarang gejala serius,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa klip video berdurasi 13 hingga 30 saat di media sosial menunjukkan beberapa pelajar MRSM  menumbuk dan menendang seorang pelajar lelaki secara beramai-ramai. – MalaysiaGazette