charity scam
Deputy Inspector-General of Police Datuk Seri Mazlan Lazim.

KUALA LUMPUR – Dua suspek yang ditahan dalam insiden seorang kontraktor mati ditikam semasa mahu ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat di Pandamaran, Klang pada 10 Disember lalu didapati positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an merupakan kenalan mangsa yang berusia 69 tahun itu kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Disember ini.

“Kedua-dua individu itu yang mana suspek utama seorang penganggur dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan hasilnya disahkan positif dadah jenis metaphethamine.

“Polis kini sedang menyiasat bagi mengenalpasti motif utama suspek menikam dan membunuh mangsa.

“Kes masih berjalan dan polis akan mengesan motif suspek membunuh mangsa yang merupakan kenalannya,” katanya selepas hadir merasmikan Mess Pegawai Kanan ibu Pejabat Kontinjen Selangor hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Terdahulu dalam kenyataan bertarikh 10 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa telah ditikam dari arah belakang oleh suspek.

Mangsa yang rebah di depan rumah disahkan meninggal dunia dan tidak sampai empat jam insiden itu berlaku, polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki di kawasan Klang dan seorang lagi rakannya di Shah Alam.

“Suspek utama dalam kes ini mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu satu rekod jenayah dan dua rekod dadah manakala senjata pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa telah ditemui.

“Dengan penangkapan kedua-dua suspek ini, kes ini telah berjaya diselesaikan hanya dalam masa lebih kurang empat jam,” katanya.

Kesemua suspek telah direman selama 7 hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis. – MalaysiaGazette