Jenazah warga emas yang ditemui di hadapan kediamannya. Gambar Ihsan Polis.

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang menunggu di hadapan rumah untuk solat Jumaat di masjid ditimpa tragedi apabila ditikam di belakang badan.

Bagaimanapun tidak sampai empat jam insiden itu, suspek yang melarikan diri itu berjaya dikesan dan diberkas polis.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 12.38 tengah hari tadi selepas Pusat Kawalan Ibu Polis Daerah Klang Selatan  menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Laporan yang diterima memaklumkan seorang lelaki tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat ditikam menggunakan pisau di Kampung Idaman, Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia kakitangan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, polis melakukan dua tangkapan termasuk seorang lelaki yang dipercayai  bersubahat dalam jenayah bunuh itu di Shah Alam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, suspek utama seorang penganggur dalam kes ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk dua kesalahan dadah.

Manakala suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah dan bekerja sendiri.

Senjata yang digunakan oleh suspek utama untuk menikam simati juga telah berjaya ditemui.

“Dengan penangkapan kedua-dua suspek ini, kes ini telah berjaya diselesaikan hanya dalam masa lebih kurang empat jam.

Polis akan membawa kedua-dua suspek itu ke Mahkamah Klang pada pagi esok (Sabtu) untuk reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. – MalaysiaGazette