Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya bagi menghukum individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) seperti gagal memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal  adalah sangat tidak munasabah.

Apatah lagi apabila rang undang-undang tersebut tidak menyertakan garis panduan untuk mengeluarkan kompaun.

Lantaran itu, cadangan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) wajar diteliti semula, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, alasan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa ia sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan selepas undang-undang itu diluluskan adalah tidak menepati okjektif pindaan ini.

Jelasnya, tiada undang-undang wajar diluluskan tanpa segala maklumat dan perincian di jelaskan dengan telus untuk pertimbangan ahli legislatif.

”Tindakan ‘piecemeal’ (berperingkat-peringkat) seperti ini menunjukkan ketidaksediaan KKM dalam merangka pindaan tersebut.

”Apa jua tindakan menyegerakan RUU ini tidak boleh mengabaikan ketelusan dan keadilan. Justice rushed is justice crushed (Keadilan yang tergesa-gesa adalah keadilan yang menghancurkan),” tegas beliau.

Mohamad berkata, Malaysia mesti belajar dari episod pendemik ini.

Salah satu sebab kenapa Malaysia terus dalam keadaan sekarang ialah kerana kegagalan kerajaan dalam melaksanakan keadilan dalam penguatkuasaan.

Banyak sudah kes layanan dan tindakan ‘dua darjat’ antara orang biasa dengan mereka yang kenamaan dan berkuasa.

Orang kampung, peniaga dan mereka yang biasa-biasa, dikenakan kompaun dengan secara tidak munasabah. Tetapi orang yang ternama, dikenakan denda yang sangat ringan, katanya.

Di kota-kota besar negara lain, rakyat mereka diberikan pelitup muka jika tidak membawanya.

Rakyat mereka dinasihati dengan sopan.

”Malaysia tidak boleh menjadi negara bersifat ‘punitive’ (menghukum). Negara ini harus menjadi negara yang undang-undangnya mesti dilaksanakan dengan kemanusiaan.

”Ingat lah keadilan itu ditangan kanan, ihsan itu ditangan kiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette