Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,552 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada jangkitan wabak tersebut seramai 2,615,162 orang.

Menurut beliau, seramai 384 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 304 kes disahkan positif Covid-19 manakala 80 kes disyaki, kemungkinan (probable) dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 213 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 142 kes positif Covid-19 sementara 71 kes lagi disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini (3,900 kes) sebanyak 86 kes atau 2.2 peratus adalah kategori 3,4 dan 5 manakala 3,814 kes (97.8 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 19 kes yang dilaporkan hari ini membabitkan kes import manakala 3,881 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 3,692 warganegara dan 189 bukan warganegara.

Tambah beliau, sebanyak tujuh kluster baharu telah dikesan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,056 kluster.

Katanya lagi, sejumlah 5,810 kluster telah ditamatkan manakala 246 kluster masih lagi aktif.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, nilai kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) negara semalam berada pada kadar 0.93.

Jelasnya, Negeri Sembilan merekodkan nilai Rt pada kadar 1.02 manakala Melaka dan Pahang masing-masing mencatatkan Rt 1.01. – MalaysiaGazette