Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebenarnya tidak perlu menjual aset kewangan pegangannya ke dalam pasaran bagi mencairkan aset untuk pelaksanaan i-Citra..- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju sekiranya masih ada lagi cadangan untuk membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat berkata, ekonomi negara semakin pulih dan kembali berkembang serta kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan ketat terhadap pelbagai  sektor.

Menurut beliau, sehingga kini kerajaan telah membenarkan beberapa siri pengeluaran wang KWSP kepada rakyat melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat. foto FAREEZ FADZIL, 02 OKTOBER 2020

“Pada peringkat awalnya CUEPACS bersetuju dengan langkah ini kerana ia mampu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik Covid-19.

“Wang tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan termasuk penjawat awam yang mencarum KWSP serta pasangan mereka yang mungkin terjejas.

“Bagaimanapun setelah hampir dua tahun kita berhadapan dengan pandemik Covid-19, keadaan ekonomi negara semakin pulih dan kembali berkembang apabila kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan yang ketat kepada sektor ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, setelah mengambil kira faktor-faktor tersebut, CUEPACS berpandangan tiada lagi keperluan untuk kerajaan membenarkan kemudahan untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP pekerja.

Tambah beliau, data yang dikeluarkan KWSP turut memaklumkan bahawa 50 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

“Ini amat membimbangkan dan memberi kesan yang lebih besar sekiranya kebenaran pengeluaran diberikan sekali lagi. Matlamat utama KWSP adalah untuk memastikan para pekerja mempunyai simpanan yang mencukupi bagi kegunaan selepas persaraan atau hari tua kelak.

“Jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan walaupun ekonomi negara telah kembali pulih, sudah tentu ia akan menjejaskan matlamat asal KWSP.

“Kesannya kelak ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara yang miskin, seperti dinyatakan oleh KWSP kira-kira 50 peratus ahli yang memiliki simpanan kurang RM10,000 itu hanya boleh berbelanja RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun persaraan.

“Kita tidak mahu kesannya menjadi lebih berpanjangan pada hari tua kelak kerana sepatutnya pesara ini harus hidup dengan lebih sejahtera,” ujarnya.