Friday, April 19, 2024
Home Utama Jangan bawa kambing, lembu pula selepas ini – Speaker Perak

Jangan bawa kambing, lembu pula selepas ini – Speaker Perak

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid bercakap pada sidang media selepas selesai Sidang Undangan Dewan Negeri di i Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.
IPOH – Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berharap sesi perbahasan yang berlangsung semalam tidak lagi berulang pada masa akan datang.
Beliau menegaskan, sebarang barangan yang di luar daripada kebiasaan bagi tujuan perbahasan hendaklah dirujuk kepadanya atau Setiausaha Dewan terlebih dahulu.
“Justeru saya memohon kerjasama pihak keselamatan untuk melaksanakan pemeriksaan yang lebih rapi terhadap barang yang dibawa masuk ke dalam Dewan Negeri termasuk beg, bungkusan dan sebagainya.

“Saya harap tak ada pula yang hendak bawa ‘kambing’ atau ‘lembu’ ke dalam persidangan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Pengumuman Speaker sebelum Persidangan DUN Perak bermula di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Walaupun tidak menjelaskan dengan terperinci namun kenyataan Mohammad Zahir itu merujuk kepada tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang membawa seekor ayam ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak semalam.
Semalam, Muhamad Arafat menjelaskan tindakan itu dilakukan bagi menegur ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang merupakan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri agar mengambil berat terhadap masalah kenaikan harga barang yang berlaku akhir-akhir ini.
Mohammad Zahir turut berharap agar semua ADUN dapat menjaga etika ketika berbahas supaya menjaga kedudukan DUN sebagai institusi legislatif negeri.
“Selaku Yang Dipertua Dewan, saya amat memahami hasrat setiap Ahli Yang Berhormat yang berbahas sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mengetengahkan isu semasa khususnya isu-isu yang berkaitan dengan denyut nadi rakyat.
“Bagaimanapun pada masa sama etika perbahasan perlu diutamakan agar dapat melambangkan Dewan yang mulia ini sebagai Institusi Legislatif Negeri,” katanya. – MalaysiaGazette