Abdul Majid Mohd Ali

MELAKA – Satu jawatankuasa teknikal dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penipuan didalangi doktor sebuah klinik swasta di negeri ini yang mengubah mengubah keputusan RTK-Ag Covid-19 daripada positif kepada negatif.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, ia susulan dua laporan polis diterima berkaitan kes terbabit bermula dengan laporan pertama pada 13 Disember Ialu selepas pendedahan MalaysiaGazette pada Ahad disusuli laporan kedua dibuat JKN semalam.

“Berdasarkan laporan itu, kita telah mengambil keterangan JKN dan dari situ kita akan tengok bagaimana yang dikatakan keputusan Covid-19 itu boleh diubah daripada positif kepada negatif sebelum membawanya ke peringkat perundangan.

“Kita hendak pastikan sama ada kesilapan itu daripada sistem atau memang  disengajakan. Jika terdapat kes, siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kami Prihatin di Taman Seri Duyong di sini hari ini.

Artikel berkaitan: 

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, setakat ini hanya satu klinik dilaporkan berlaku kes itu dan pihak polis belum memanggil mana-mana individu termaksud doktor berkenaan.

“Kita akan kumpul bukti-bukti dahulu, kalau ianya kukuh baru kita akan panggil (doktor). Klinik itu juga masih beroperasi yang mana ianya bergantung kepada kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

MalaysiaGazette Ahad lalu mendedahkan dakwaan pengadu doktor sebuah klinik swasta terkenal di negeri ini yang bersubahat dengan pesakitnya untuk mengubah keputusan RTK-Ag Covid-19 daripada positif menjadi negatif.

Akibatnya, pesakit Covid-19 itu kini terpaksa ‘ditidurkan’ di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka kerana lewat mendapat rawatan menyebabkan virus semakin merebak.

Kejadian berlaku dua minggu lalu, apabila pesakit lelaki berusia 40-an yang bekerja di sebuah kilang di Cheng itu datang ke klinik swasta terbabit untuk melakukan ujian RTK-Ag kerana mempunyai simptom jangkitan virus berkenaan.

Hasil ujian kemudian menunjukkan keputusan positif Covid-19 namun lelaki berkenaan telah membuat ‘rundingan’ dengan doktor terbabit untuk menukar keputusan positif Covid-19 itu menjadi negatif bayaran tertentu sebagai ‘upah’.

Dakwaan itu kemudian disahkan Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu terkejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengumpul semua bukti sebelum membuat laporan polis.

Tegasnya, kejadian seumpama itu sama sekali tidak boleh diterima kerana jelas menyalahi etika perubatan yang boleh dikenakan tindakan menggantung lesen perubatan doktor terbabit. – MalaysiaGazette