Contoh SMS temu janji dos penggalak.

KUALA LUMPUR – Bagi mempercepatkan lagi pemberian dos penggalak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghantar pemakluman tarikh temu janji kepada penerima melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi MySejahtera.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sehingga semalam, sebanyak 3,944,858 dos penggalak Covid-19 telah diberikan.

“Masyarakat diingatkan agar sentiasa cakna dengan pemakluman di telefon masing-masing agar tidak terlepas tarikh temu janji yang diberikan dan menyatakan sama ada bersetuju untuk menerima dos penggalak atau tidak.

“Sekiranya terlepas tarikh temu janji yang diberikan, adalah disarankan agar menghadirkan diri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat untuk pendaftaran senarai menunggu,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19 hari ini.

KKM telah meluluskan pemberian dos penggalak sejak November lalu dengan memberi keutamaan kepada individu berusia 40 tahun dan ke atas, individu berusia 18 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi, penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang, ibu mengandung dan individu dengan keperluan ke luar negara. – MalaysiaGazette