Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendesak kerajaan memberikan penjelasan rasmi dan konsisten berhubung keputusan menggugurkan syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi institusi pendidikan swasta (IPS) tertentu.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, langkah itu penting berikutan wujud perbezaan kenyataan antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhubung proses keputusan berkenaan.

“KPM pada 21 September lalu menyatakan keputusan dibuat hasil perbincangan dengan MITI, namun sehari kemudian MITI menafikan makluman berhubung penyelarasan itu dan menegaskan dasar ekuiti Bumiputera berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.

“Percanggahan itu wajar diperjelaskan segera bagi memelihara keyakinan masyarakat serta komuniti perniagaan terhadap ketelusan, konsistensi dan akauntabiliti proses pembuatan dasar kerajaan.

“Isu utama bukan sekadar rasional pengguguran syarat, tetapi turut melibatkan pihak berkuasa yang meluluskan, kementerian yang dirujuk, proses libat urus, serta data penilaian impak yang digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebarang perubahan dasar yang memberi kesan kepada pemilikan ekonomi bumiputera perlu dibuat menerusi penyelarasan antara kementerian yang jelas dan berasaskan data, memandangkan agenda pemilikan ekonomi golongan itu masih belum selesai.

“Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) merekodkan pemilikan ekuiti oleh individu dan agensi mandat bumiputera hanya berada pada kadar 18.4 peratus pada 2020 dengan sasaran ditingkatkan kepada 30 peratus menjelang 2035.

“Persoalannya apabila kerajaan berusaha meningkatkan pemilikan ekonomi Bumiputera, namun pada masa sama salah satu mekanisme penyertaan ekuiti digugurkan tanpa penjelasan mengenai mekanisme pengganti.

“Bagi DPMM, keterbukaan pasaran dan pemerkasaan bumiputera tidak sepatutnya ditentang kerana dasar yang baik mampu menarik pelaburan,” ujarnya.

Dalam pada itu, DPMM turut menggesa kerajaan tampil menjelaskan pihak berkuasa yang meluluskan keputusan tersebut, skop sebenar IPS yang terlibat, tarikh kuat kuasa, proses libat urus antarakementerian, data penilaian impak serta mekanisme alternatif yang akan diperkenalkan bagi memastikan penyertaan bumiputera tidak terhakis.

“Sementara penjelasan dan penilaian impak tersebut belum dimuktamadkan, DPMM mencadangkan agar pelaksanaan penyelarasan ini diteliti dan diperhalusi terlebih dahulu melalui libat urus bersama pihak berkepentingan.

“Bagi DPMM, perkara ini lebih besar daripada angka 30 peratus semata-mata kerana ia juga melibatkan konsistensi dasar, tadbir urus dalam proses membuat keputusan dan hala tuju agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera,” katanya.

Norsyahrin berkata, DPMM bersedia untuk terlibat dalam sesi libat urus bersama KPM, Kementerian Ekonomi, MITI dan agensi berkaitan bagi membangunkan penyelesaian yang seimbang.

“Matlamatnya ialah memastikan sektor pendidikan swasta terus berkembang, kompetitif dan terbuka, tanpa mengetepikan usaha memperkukuh pemilikan, penguasaan serta penyertaan ekonomi Bumiputera,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: KPM gugur syarat 30 peratus ekuiti Bumiputera bagi IPS dikendalikan syarikat sendirian berhad

MITI nafi terlibat penyelarasan syarat 30% ekuiti bumiputera IPS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here