Seorang lelaki mengugut serta merosakkan cermin kereta milik isterinya di Jalan Teluk Wanjah di sini ditahan polis pada Isnin lalu.

ALOR SETAR – Seorang lelaki mengugut serta merosakkan cermin kereta milik isterinya di Jalan Teluk Wanjah di sini ditahan polis pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, perbuatan suspek berusia 30 tahun itu sempat dirakam isterinya  menggunakan telefon bimbit sebelum membuat laporan polis.

Jelas beliau, tangkapan dibuat sejurus pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 24 tahun kira-kira pukul 10.37 pagi di Balai Polis Alor Setar.

“Hasil siasatan mendapati ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia bersama anaknya berada di Lorong Panglima Jalan Teluk Wanjah di sini sebelum menyedari suaminya mengekorinya dengan menaiki motosikal jenis Honda Wave.

“Suspek memberi alasan memberikan wang kepada anak mereka namun isterinya hanya membuka sedikit tingkap menyebabkan suspek tiba-tiba merentap cermin kereta berkenaan sehingga pecah dan tercabut.

“Serpihan kaca itu turut terkena anak pasangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Ahmad Shukri, siasatan lanjut juga mendapati kawasan itu berhampiran rumah mangsa serta tidak dilengkapi kamera  rakaman litar tertutup.

Bagaimanapun, katanya, mangsa sempat merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbitnya sebagai bukti kejadian.

“Suspek ditahan pada hari sama itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dilakukan,” kata Ahmad Shukri.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 26 saat di Facebook menunjukkan seorang lelaki memecahkan cermin kereta seorang wanita. – MalaysiaGazette