ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud pada sidang media selepas selesa Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perak telah memperuntukkan sebanyak RM4.57 juta bagi Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) yang dilaksanakan sepanjang tahun ini dan lalu yang memberi manfaat kepada lebih 70,000 rakyar negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud memberitahu, antara inisiatif TCS pada tahun ini apabila kerajaan negeri menjayakan program Program SMART-G TUISYEN iaitu kelas tuisyen tambahan khas secara online yang akan melibatkan 4,000 pelajar B40 dan M40 terpilih dengan peruntukan RM600,000.

Menurut beliau, inisiatif lain di bawah TCS itu turut memperkenalkan elaun khas yang memperuntukkan jumlah peruntukkan keseluruhan sebanyak RM200,000.

Ujarnya, kerajaan juga menitikberatkan kesihatan dan kebersihan murid khsususnya yang berada di asrama apabila meluluskan sejumlah RM93,000 bagi mewujudkan inisiatif Asrama Bebas Covid (ABC) dengan menyediakan kit kebersihan untuk diserahkan kepada murid di asrama meliputi pemberian tuala, sabun, hand sanitizer, berus dan ubat gigi serta syampu rambut.

“Turut dijalankan, Program Penghijauan Malaysia iaitu Kempen Penanaman 100 juta pokok peringkat negeri Perak, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM150,000 di bawah Program Perak My Healthy Garden yang melibatkan sekolah terpilih.

“Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi meringankan beban mahasiswa yang terkesan khususnya dalam kalangan daripada keluarga B40 di bawah inisiatif Bantuan Mahasiswa 2.0.

“Peruntukan secara one-off ini melibatkan pemberian bantuan sebanyak RM150 yang telah pun diagihkan kepada 2,000 mahasiswa yang layak mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

“Menteri Besar, Datuk Seri Saarani telah meluluskan penambahan peruntukan sebanyak RM 600,000 lagi yang akan memberi manfaat kepada 4,000 mahasiswa dibawah inisiatif sama.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM100,000 meliputi pemberian RM50 setiap seorang untuk baucer pengangkutan awam bagi membantu mahasiswa untuk pulang ke kampus masing-masing di mana permohonan masih lagi dibuka sehingga bulan ini,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud pada sidang media selepas selesa Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 DISEMBER 2021.

Ahmad Saidi menambah, bagi tahun 2020, kerajaan negeri telah menyediakan sejumlah RM2.49 Juta bagi menyediakan makan tengah hari percuma kepada murid yang menduduki peperiksaan awam selama 15 hari bermula 8 Februari sehingga 22 Februari lalu sebelum mereka menduduki peperiksaan.

Menurut beliau, bantuan itu memberi manfaat kepada 33,170 orang murid sekaligus memahami keperluan murid yang menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Tinggi Peperiksaan pada tahun 2020.

“Selain itu, TCS turut menyediakan 20,000 unit telefon pintar secara percuma sumbangan YTL Foundation berserta kad sim sebanyak 70,000 kad yang dilengkapi pelan data 10GB setiap bulan secara percuma, tuisyen online langganan setahun secara percuma.

“Pemberian peranti percuma ini melibatkan murid B40 yang disenaraikan oleh guru-guru, pejabat pendidikan daerah bagi memastikan pelajar-pelajar yang benar-benar layak serta terpilih meliputi keseluruhan 59 Dewan Undangan Negeri di negeri Perak.

“Kerajaan juga telah memperuntuk dan menyalurkan sebanyak RM200,000 bagi membantu mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi khususnya dalam kalangan keluarga B40 melalui bantuan Khas Mahasiswa 1.0.

“Bantuan ini telah disalurkan kepada 1,313 mahasiswa bagi meringankan beban yang di hadapi mereka sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette