Najib Razak

KUALA LUMPUR – Rakyat minta kerajaan menaikkan pengeluaran i-Citra daripada duit caruman sendiri kepada RM10,000 buat kali terakhir dan bukannya minta didenda RM100,000 berulang kali sebab terlupa memakai pelitup muka, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak akan menyokong cadangan tersebut kerana menyifatkan ia sebagai ‘kerja gila’.

”Had maksimum denda individu langgar SOP dinaikkan dari RM1,000 (atau RM10k masa darurat) ke RM100,000 + 7 tahun penjara? Had maksimum denda korporat langgar SOP dinaikkan dari RM50,000 ke RM2 juta? Kerja giler.

”Saya tak sokong,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengulas mengenai inti pati pindaan Akta 342 yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat.

Syarikat, kilang dan agensi kerajaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan wabak Covid-19 boleh dikompaun hingga RM1 juta berbanding RM50,000 selepas pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Untuk individu jumlah maksimum kompaun akan kekal sebanyak RM10,000 tetapi berdasarkan situasi sekarang yang membabitkan pelaksanaan kuarantin di rumah dan sebagainya, pindaan itu juga akan menyentuh perkara seperti pemasangan peranti pengawasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan dalam Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bakal memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan mengikut Ordinan Darurat sebelum ini.

Apabila diluluskan Dewan Rakyat kelak, ia antara lain menyaksikan penurunan kuasa untuk pelaksanaan penguatkuasaan, peruntukan mengenakan tindakan terhadap pertubuhan perbadanan serta penalti am terhadap individu dan pertubuhan perbadanan.

Dr Noor Hisham Abdullah menambah, pindaan terhadap undang-undang yang sudah berusia 32 tahun sejak dikuatkuasakan 1 April 1989, bakal menangani isu penguatkuasaan Akta 342 apabila menyeragamkan pelaksanaan penguatkuasaan dalam kalangan pegawai agensi berkaitan.

Menurut Najib, acara kerajaan didenda RM1,000 minggu lepas pun sudah menaikkan kemarahan rakyat dan ramai lagi didenda dengan nilai jauh lebih tinggi termasuk acara Barisan Nasional (RM20,000) dan acara yang dihadirinya, (RM20,000).

”Malah, saya lupa scan MySejahtera sudahpun didenda RM3,000 manakala kedai nasi ayam terbabit dikenakan denda RM10,000 sebab tidak pastikan saya scan MySejahtera,” ujarnya. – MalaysiaGazette