Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja terhadap kumpulan yang berusia 12 hingga 17 tahun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OKTOBER 2021.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kadar kebolehjangkitan atau Rnaught (Rt) penularan Covid-19 dalam negara berdasarkan kes positif harianĀ  pada 15 Disember lalu masih stabil kerana berada bawah paras 1.00 iaitu 0.92.

Perkembangan terbaharu kadar Rt itu menunjukkan penularan masih terkawal, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Namun, katanya, terdapat empat negeri merekodkan bacaan kadar kebolehjangkitan pada paras 1.00 ke atas dengan Negeri Sembilan masih mendahului carta dengan bacaan Rt tertinggi 1.02 seperti semalam.

Pahang dan Melaka yang merekodkan bacaan kadar Rt 1.01 semalam hari ini menyaksikan penurunan kepada Rt 1.00.

Pulau Pinang pula terus mencatatkan kadar Rt 1.00 manakala Perak merekodkan kadar kebolehjangkitan di bawah paras 1.00 iaitu 0.99 berbanding Rt 0.97 semalam.

Nilai Rt tiga negeri lain iaitu Kuala Lumpur Johor dan sebuah negeri Pantai Timur Terengganu tidak berubah apabila kekal dengan kadar Rt 0.98.

Manakala Labuan melaporkan bacaan kadar Rt 0.97.

Sementara itu, negeri utara semenanjung iaitu Perlis dan negeri Selangor melaporkan kadar Rt 0.95

Satu lagi negeri utara iaitu Kedah mencatatkan kadar Rt 0.93 disusuli Kelantan dan Putrajaya pula merekodkan 0.90 Rt.

Sabah mencatatkan kadar kebolehjangkitan 0.84 manakala Sarawak hari ini merekodkan kadar Rt terendah di negara ini iaitu 0.74.-MalaysiaGazette