Seorang warga emas, Khoo Swee, 101 menerima suntikan vaksin dos kedua ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital KPJ Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 JULAI 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Individu berusia 60 tahun dan ke atas perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada Februari 2022.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jika kumpulan individu itu masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas tempoh tersebut, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap.

“Individu tersebut juga tidak layak untuk menerima kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin.

“Sehubungan itu, individu dalam kumpulan yang dinyatakan di atas; semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin siri primer) – perlu mendapatkan suntikan dos penggalak,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) meluluskan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dan vaksin AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak.

“Lanjutan daripada itu, pihak Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) telah mengesyorkan dos penggalak diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun dan ke atas.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melalui Strategic Advisory Group of Experts on Immunisation (SAGE) juga mencadangkan agar semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin siri primer) perlu mengambil dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap,” katanya.

Jelasnya, cadangan ini telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 – Booster (CITF-B) pada 8 Disember 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast