Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kadar kes sembuh harian terus naik dan melepasi paras 5,000 kes pada hari ini apabila setakat 12 tengahari tadi sebanyak 5,098 kes direkodkan Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan terbaharu itu menjadikan jumlah terkumpul kes sembuh sebanyak 2,625,245.

Semalam jumlah kes sembuh harian adalah sebanyak 4,985 kes manakala pada Rabu lalu 4,552 kes sembuh direkodkan sementara pada Selasa 4,301 kes.

Katanya, sebanyak 400 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala sebanyak 198 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Daripada 4,362 kes harian positif Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 89 kes atau 2.0 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 dan sebanyak 4,273 kes iaitu 98.0 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan harian Covid-19 di sini hari ini.

Tambah beliau, daripada 4,362 kes positif yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, kes import adalah 28 kes iaitu13 warganegara dan 15 warga asing.

Sebanyak 4,334 kes adalah jangkitan tempatan yang mana 4,099 kes atau 94.6 peratus daripadanya adalah warganegara dan 235 kes atau 5.4 peratus dari bukan warganegara.

Dari segi perkembangan kluster Covid-19, sebanyak 12 kluster baharu telah direkodkan hari ini berbanding hanya enam klusterĀ  semalam.

Manakala sebanyak 5,817 kluster telah ditamatkan dan 257 kluster lagi masih dilaporkan aktif. – MalaysiaGazette