Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO mendedahkan segala macam kelicikan sedang direncanakan ke atas UMNO dan dirinya oleh pihak-pihak pihak yang terlalu takutkan bayang-bayang sendiri setelah segala kejahatan dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap parti terbesar orang Melayu ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kelicikan itu dilakukan tanpa mempedulikan soal penganiyaan, dosa dan pahala demi mempertahankan kuasa dan kedudukan.

Namun beliau berikrar untuk tetap berpegang kepada amanah parti dan pesanan lebih 3.3 juta ahlinya untuk mengorak sebuah kebangkitan dan mengembalikan kebenaran buat rakyat serta negara bersama para pimpinan UMNO yang tetap setia kepada perjuangan parti selepas peristiwa 9 Mei 2018.

”Meskipun jalannya berliku, tetapi langkah parti keramat agama, bangsa dan negara ini untuk sebuah “redemption” tidak pernah terhenti.

“Kebatilan juga tidak pernah tidur dan sentiasa mencari peluang untuk menyekat dan meranapkan kerana tahu kebenaran yang bangkit akan meleburkan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Zahid mengakui bukan tugas mudah untuk menyelamatkan perjuangan UMNO daripada komplot kemusnahan yang dirancang pada detik hitam 9 Mei 2018.

Masih jelas dalam ingatan beliau diugut dan digertak oleh ‘sang penguasa’ supaya membubarkan UMNO atau menerima akibat sejurus UMNO tewas PRU-14 angkara fitnah dan tipu daya.

Katanya, beliau dan UMNO dihina dan diejek oleh si pembelot yang berkiblatkan jawatan serta kedudukan dan ditekan oleh mereka yang curang supaya menggadaikan parti keramat ini.

Namun, katanya, dengan izin Allah, perjuangannya tidak hancur dimamah kezaliman.

Beliau mengucapkan rasa syukur kepada Allah kerana tidak pernah sesekali mengizinkan parti itu layu dan kaku berdepan penganiayaan dan kedurjanaan.

”Genggam bara api biar sampai jadi arang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, patah sayap bertongkat paruh, namun gunung ku daki ku daki juga, yakini akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan.

”Setinggi syukur Ya Allah kerana memperlihatkan dengan terang dan nyata kepada kami ahli UMNO dan rakyat jelata tentang muslihat pakatan dan ikatan mereka.

”Pimpinan dan ahli akar umbi UMNO yang setia berharap dan berdoa kepadaMu Ya Rabbi lindungilah dan berkatilah perjuangan kami demi kemakmuran rakyat dan negara tidak tersasar,” doa beliau.

Beliau turut mengingatkan pimpinan dan akar umbi parti itu supaya tidak membenarkan UMNO dipergunakan dan dipecahbelahkan oleh musuh sebaliknya meneguhkan pendirian, muafakatan dan penyatuan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast