Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 DISEMBER 2021.

IPOH – Perak mencatatkan pelaburan dalam sektor pembuatan dengan jumlah RM4.057 bilion bagi tempoh Januari sehingga Jun lalu di sebalik penularan pandemik Covid-19 tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani berkata, ia merangkumi 21 buah projek dari sektor pembuatan makanan, produk berasaskan getah, peralatan pengangkutan, kimia dan produk berasakan kimia, produk plastik, produk berasaskan kayu, tekstil dan produk tekstil dan pembuatan perabut.

Menurut beliau, projek-projek itu melibat daerah Kinta, Larut, Matang dan Selama, Kerian dan Kuala Kangsar.

“Pihak InvestPerak juga menyasarkan sekitar RM2 bilion jumlah pelaburan bagi tempoh Julai hingga Disember ini.

“Pihak InvestPerak, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan juga Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menganggarkan tidak kurang dari RM5 bilion potensi pelaburan baharu akan merangkumi sekitar 11 buah projek dari pelabur tempatan dan juga pelabur asing bagi sektor produk berasaskan getah, elektrik dan elektronik, peralatan pengangkutan, farmaseutikal, tenaga diperbaharui dan produk kimia.

“Projek-projek ini merangkumi beberapa buah daerah di Negeri Perak termasuk Kinta, Manjung, Muallim, Batang Padang dan Kerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan Perak 2020 pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Saarani menambah, sebanyak 2,000 peluang pekerjaan baharu dijangka dapat diwujudkan melalui kemasukan pelaburan-pelaburan baru pada tahun depan.

Menurut beliau, dari sudut peluang pekerjaan yang dijana bagi sektor pembuatan, 21 buah projek yang diluluskan untuk tempoh Januari hingga Jun lalu telah menjana sekitar 3,800 peluang pekerjaan baharu.

Katanya, baki pelaburan bagi tempoh Julai hingga Disember ini dijangka menjana tambahan 600 peluang pekerjaan baharu.

“Penularan wabak Covid-19 sememangnya memberi impak yang cukup besar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Perak secara khususnya.

“Ini jelas dapat dilihat melalui Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Perak pada tahun 2020 yang mencatatkan penguncupan sekitar -2.3% berbanding tahun sebelumnya.

“KDNK negeri dari sektor pembuatan menyumbang sebanyak 19 peratus dari pada tahun 2020 namun dengan perkembangan yang memberangsangkan ini pihak kerajaan negeri yakin angka sumbangan kepada KDNK tersebut dapat dipertingkatkan dalam jangka masa terdekat dan secara tidak langsung meningkatkan hasil negeri melalui kutipan cukai dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast