Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang Kali ke- 33 2021 di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 18 DISEMBER 2021.

TANJONG KARANG – Tan Sri Noh Omar akan tetap berkhidmat dan berbakti kepada rakyat Selangor, khasnya penduduk kawasan setempat walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.

Malah Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, beliau terus berkhidmat kepada rakyat Selangor selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Tahun 2004 kita menang hampir semua, tapi 2008 kita kalah dan hilang negeri. Tahun 2018 kita hilang pula kerajaan persekutuan dan bergelar pembangkang. Ketika itu saya tetap berkhidmat untuk semua. Bukan sahaja penduduk kawasan tetapi seluruh Selangor.

“Juga seluruh negara, apabila saya bercakap dengan lantang di Parlimen, ada hari saya kena keluar Dewan. Kita pernah jadi pemerintah dan kita juga pernah merasa menjadi pembangkang.

“Kerana itu apabila ada segelintir yang kata saya bercakap pada masa ini kerana sudah bergelar menteri, itu satu persepsi salah sebaliknya tanpa jawatan saya masih berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang ke-33, di sini, hari ini.

Beliau yang terkejut diberi jawatan menteri memberitahu, pelbagai usaha boleh dilakukan bagi membantu rakyat.

“Dulu kita tidak mampu, sekarang kita boleh. Macam-macam kita boleh buat rakyat kita. Kerana itu juga saya setuju kerajaan ini teruskan mandat sehinggalah tamat penggal supaya manfaat untuk rakyat,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang.

Pada mesyuarat itu, UMNO Bahagian Tanjong Karang menyokong penuh kepimpinan Perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri hingga habis penggal pada tahun 2023.

Noh Omar berkata, usul tersebut senada dengan ketetapan UMNO Selangor semasa mesyuarat yang beliau pengerusikan pada 15 Disember lalu.

Mesyuarat Perhubungan UMNO Selangor pada Rabu lalu membuat ketetapan menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

“Pada mesyuarat itu juga 22 UMNO Bahagian di Selangor menyokong supaya Muafakat Nasional (MN) di negeri ini diteruskan.

Kita juga meminta wakil-wakil Pas untuk hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian di negeri ini,” katanya.

Selain usul menyokong Perdana Menteri, Noh berkata, isu kenaikan harga barang dan input pertanian turut dibahaskan pada mesyuarat tersebut. – MalaysiaGazette