KD Rencong

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima aset baharu iaitu kapal misi pesisir (LMS) keempat yang diberi nama KD Rencong, hari ini.

Dalam satu kenyataan, TLDM memaklumkan, penyerahan kapal tersebut dibuat di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wucang, Qidong, Nantong City, China.

“Upacara Penyerahan Fizikal dan Penamaan LMS Keempat diadakan serentak dan disempurnakan oleh Sutinah Mohamad, isteri kepada Ketua Projek Pasukan Projek LMS manakala Laksamana Pertama Zahid Abd Aziz, Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China mewakili kerajaan Malaysia bagi menandatangani Sijil Penyerahan Fizikal Rencong,” katanya.

Tambahnya, LMS tersebut dinamakan Rencong bersempena nama salah sebuah kapal ronda Kelas KRIS yang telah dilucut tauliah pada 2005.

Jelasnya, penggunaan nama Rencong itu merupakan senjata tradisional Melayu yang turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang dan menangkis serangan musuh.

KD Rencong, katanya, merupakan kapal LMS Keempat TLDM yang akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

KD Rencong mula dibina pada 18 September 2019 dan dilancarkan ke permukaan air pada 16 Disember tahun lepas oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan.

Jawatankuasa Penerimaan Akhir (JKPA) KD Rencong dianggotai seramai tiga orang wakil kerajaan yang diketuai oleh Laksamana Pertama Zahid Abd Aziz yang telah melaksanakan pemeriksaan dokumentasi, pemeriksaan fizikal dan turut mengikuti pelayaran demonstrasi keupayaan kapal. – MalaysiaGazette