Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap sambil diperhatikan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-68 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau bukan mendesak supaya diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) awal tetapi pihak tertentu kena memikirkannya secara bijaksana masa yang terbaik.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu  yakin jika masanya baik untuk diadakan PRU sekarang, kekalahan BN pada PRU-14 tidak akan berulang.

“Saya bukan mendesak, sebagai Pengerusi BN kita tidak mendesak tetapi fikirkanlah dengan bijaksana timing yang terbaik.

“Saya yakin jika timingnya baik, MCA yang sebelum ini ramai beranggapan tidak akan menang, boleh menang dua kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu.

“Padahal, apabila saya mengadakan rundingan dengan Presiden (Datuk Seri Wee Ka Siong), beliau memaklumkan dengan penuh yakin, MCA tidak akan kalah seperti dahulu kerana semangat MCA telah berubah,” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-68 di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, hasil daripada keyakinan yang begitu tinggi itu, MCA telah memenangi dua kerusi di Melaka mengalahkan penyandang dari DAP.

Katanya, kemenangan itu ketika persepsi orang ramai menganggap MCA telah tiada masa depan.

“Tetapi atas keyakinan pengundi dan rakyat Melaka, maka parti ini yang asalnya kosong, kini mempunyai dua kerusi. Ini adalah petanda yang cukup baik untuk MCA, begitu juga MIC.

“Tiga beradik ini, UMNO, MCA, MIC dan kita ada adik bongsu PBRS termasuk bersama dengan rakan parti bersekutu serta Friends of BN, kita akan cipta sejarah baru untuk BN bangkit semula dalam PRU-15,” katanya.

Dalam ucapan itu, beliau melahirkan rasa kagum dengan Ka Siong yang menunjukkan semangat setia kawan yang sangat erat dan kukuh.

“Saya kagum dengan Presiden MCA. Kekaguman itu bukan kerana beliau adalah sahabat lama saya, tetapi semangat kesetiakawanan yang diperlihatkan oleh beliau dengan sikap, polisi dan juga falsafah pemikiran MCA untuk terus berada dalam BN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast