Penduduk menyelamatkan barang keperluan rumah ketika banjir akibat hujan berterusan sejak semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 17 Padang Jawa, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 19 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR- Ketika banjir tidak diduga melanda sebahagian besar daerah-daerah di Selangor, rakyat Malaysia berganding bahu meskipun secara maya untuk memastikan “saudara” mereka yang sedang dalam kesusahan, tidak bersendirian.

Kesesakan talian hotline kecemasan yang disediakan pihak berkuasa menyebabkan ramai yang menggunakan platform media sosial untuk meminta bantuan.

Bagi golongan yang lebih bernasib baik pula, mereka menggunakan platform itu untuk meminta supaya mangsa-mangsa menghubungi mereka atau memberitahu lokasi mereka untuk dibantu.

Kasih-sayang dan sifat dermawan rakyat Malaysia ini melangkaui agama dan bangsa sehingga sanggup menawarkan kediaman, premis pejabat atau ruang kedai untuk dijadikan tempat pelindungan kepada mangsa banjir walaupun tidak dikenali.

Tanda pagar seperti #daruratbanjir #banjir  #shahalam dan #Hululangat masih kekal trending di Twitter sehingga ke saat ini.

“Tersentuh melihat rakyat Malaysia menawarkan rumah mereka sebagai tempat pelindungan sementara kepada mangsa banjir. Sekali lagi #rakyatjagarakyat,” kata seorang pengguna Twitter @MieraMaira

“Buat panggilan kepada bomba tetapi tidak sampai, jadi penghuni (Residensi Hijauan) membuat keputusan untuk memotong pagar dan membawa mangsa banjir (yang tinggal berhampiran kondo berkenaan) masuk ke kawasan kondo.

“Mereka ditempatkan di dewan tingkat tiga manakala para penduduk kondominium pula membawa turun selimut, tuala dan makanan kepada mangsa banjir,” kata @FieEomma mengenai keadaan di Residensi Hijauan, Seksyen 22, Shah Alam, hari ini.

 

Bagi yang lebih berkemampuan atau mempunyai kelengkapan seperti bot atau kayak, bantuan dapat dihulurkan sendiri sama ada dengan memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat atau sekadar memberikan makanan, air bersih dan selimut kepada mangsa yang terperangkap di rumah masing-masing.

Malah syarikat menjual alatan sukan ternama, Decathlon dalam satu kenyataannya hari ini mengumumkan penggantungan sementara jualan barangan seperti kayak, pelampung dan jaket keselamatan kepada orang ramai.

Ini katanya bagi membolehkan stok barangan berkenaan sentiasa tersedia kepada badan bukan kerajaan (NGO), individu persendirian atau mana-mana pihak yang mahu mendapatkannya bagi tujuan membantu mangsa banjir.

Ini bukan kali pertama kita melihat rakyat Malaysia bersatu hati membantu warganya yang dalam kesusahan.

Tanpa perlu menunggu wakil rakyat, ahli politik atau sesiapa pun, mereka hanya menggerakkan akal, tulang empat kerat dan hati yang ikhlas untuk membantu insan yang dalam kesusahan.- MalaysiaGazette