Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan DAP meneliti penutupan kilang Sony di negeri ini bagi mengelakkan pertumbuhan sektor perindustrian merosot.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, penutupan kilang Sony sudah diumumkan sejak tahun lepas susulan pemiliknya mendakwa mahu fokus kilang yang sama di Selangor.

Namun kerajaan negeri Pulau Pinang tidak patut bersikap hipokrit dan mengelak diri daripada memantapkan pembangunan pelaburan sedia ada di samping menarik pelabur yang baru, ujarnya.

“Pada pertengahan 1990-an, pembangunan ekonomi Pulau Pinang sangat gemilang namun kini semuanya semakin malap.

“Ini sekali gus menyebabkan rakyat mula rasa bimbang berkaitan pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Tong Keong, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dilihat seolah-olah tidak bimbang dengan penutupan kilang tersebut yang boleh memberi kesan terhadap pembangunan ekonomi negeri.

“Kita gesa kerajaan negeri untuk mengambil tindakan bagi menangani isu sebegini agar tidak berulang,” ujar beliau. – MalaysiaGazette