Foto media sosial Hasanuddin Mohd. Yunus.
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menjelaskan, Ahli Parlimen Hulu Langat, Hassanuddin Mohd. Yunus kini masih berada di luar negara atas kapasiti tugasan beliau sebagai ahli Parliamentary Friendship Group, Parlimen Malaysia.
Bagaimanapun, parti itu berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat telah diarahkan untuk membantu mereka yang terjejas dengan banjir.
“YB juga sedang berusaha mendapatkan penerbangan secepat mungkin untuk balik ke Tanah Air,” kata AMANAH di hantaran Facebook miliknya.
Kelmarin, Hassanuddin berkongsi gambar beliau di sebuah pergunungan namun memadam hantaran itu tidak lama kemudian.
Ketika ini, keadaan kawasan di sekitar Hulu Langat bagaikan mimpi ngeri kepada penduduk-penduduknya apabila hampir kebanyakan tempat musnah termasuk tempat tinggal, kenderaan, pakaian dan ada juga yang hanya tinggal sehelai sepinggang akibat dilanda banjir kilat baru-baru ini.

Antara kawasan yang terjejas teruk seperti yang tular di media sosial adalah Kampung Batu 25 Sungai Lui, Kampung Batu 16, Kampung Batu 17, Kampung Batu 18, Kampung Sungai Serai dan Taman Sri Nanding.

Sementara itu, Hasanuddin memberitahu, beliau mewakili seluruh rakyat di Hulu Langat berasa sangat sedih atas bencana banjir yang berlaku.
“Saya tidak dapat bersama membantu kerana kini berada dalam misi Turki, Pakistan dan Tehran atas lantikan Tan Sri Speaker Parlimen Malaysia dan jemputan daripada Parlimen Pakistan dan Iran dibawah kapisiti saya sebagai ahli Parliamentary Friendship Group, Parlimen Malaysia.
“Rancangan ke luar telah diatur lebih awal. Di Islamabad berlaku pertemuan dengan Presiden serta Speaker Azad, Jammu dan Kashmir dan beberapa Ahli Parlimen Pakistan untuk beberapa projek kebajikan dan perumahan untuk pelarian Kasymir.
“Warga kerja Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat telah saya arahkan untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Saya sentiasa berinteraksi dengan APM dan lain lain pihak berwajib. Apa pun saya sedang berusaha mendapatkan penerbangan secepat mungkin untuk balik ke Tanah Air. Hanya kepada Allah SWT kita berserah,” tulis di hantaran Facebook miliknya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.