KUALA LUMPUR – Seorang pengurus sebuah syarikat sekuriti swasta dan ibunya sempat menyelamatkan jirannya yang terperangkap dalam rumah yang terbakar di Flat Sri Johor, Bandar Tun Razak, Cheras malam tadi.
Ravikumar Pushpavanam, 42, berkata, ketika kejadian dia dan maknya sedang berehat sambil menonton televisyen di ruang tamu.
Ketika itu, dia terdengar jeritan suara jirannya yang meminta tolong.
Kebakaran itu tercetus dari rumah tersebut, katanya.
“Saya berlari ke rumah jiran itu. Saya melihat bilik dia penuh dengan api dan jiran itu menjerit memanggil nama aku sambil berkata “Ravi tolong selamatkan aku”.
“Jiran itu sempat memotong mangga pintu sebelum saya cuba menggunakan tukul untuk membuka pintu gril dan menarik kakak itu keluar dari rumahnya sebelum percikan api keluar dari biliknya,” katanya.
Ravikumar berkata, kejadian itu berlaku dengan pantas.
“Ketika itu ramai jiran sudah turun dan mencapai alat pemadam api, tarik pili bomba serta air dalam baldi untuk memadamkan api namun gagal.
“Malah, saya nampak api sudah merebak ke rumah saya dan rumah seorang lagi jirannya.
“Saya kemudian masuk ke rumah dan membawa mak keluar dan hanya sempat tarik keluar sofa. Tetapi api pantas merebak,” ceritanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui dilokasi kebakaran di Perumahan Flat Sri Johor tengah malam tadi.
Dia yang tinggal bersama maknya kini tinggal sehelai sepinggang.
Ravikumar berkata, segala dokumen penting termasuk MyKad serta pasport dia dan emaknya hangus dalam kebakaran tersebut.
Katanya, jiran yang diselamatkannya itu berkata, ada berlaku percikan api dari biliknya sebelum kebakaran berlaku di unit flat yang sudah berusia 40 tahun. MalaysiaGazette