KUALA LUMPUR – Polis tidak menemukan sebarang kecederaan fizikal pada badan mayat seorang pengawal keselamatan yang ditemui mati lemas di Flat Taman Permata Dengkil, Sepang hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan perkara itu selepas pemeriksaan dijalankan oleh pasukan forensik terhadap mayat mangsa, V.Kaniappan yang berusia 52 tahun.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang pukul 12.20 tengah hari tadi untuk ujian saringan awal Covid-19 sebelum bedah siasat dibuat bagi menentukan punca kematian.
“Temubual polis bersama anak lelaki mangsa, Poovenddan Kanniappan berusia 23 tahun mendapati, bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di Cyberjaya dan telah keluar meninggalkan rumah pukul 9 pagi semalam menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Wan Kamarul Azran menambah, mangsa gagal dihubungi sejak pukul 8 malam semalam dan tidak pulang ke rumahnya sehingga mula membimbangkan ahli keluarga.
Malah katanya, mangsa yang juga mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis serta masalah katarak yang serius iaitu mata kanan dan mata kiri rabun teruk.
“Selain itu, hasil siasatan mendapati mayat mangsa dijumpai oleh penduduk kira-kira pukul 8.30 pagi hari ini dalam keadaan tersangkut pada paip air di bawah Blok 3, bangunan flat Taman Permata Dengkil.
“Mayat mangsa kemudian telah dibawa keluar dari kawasan banjir oleh pasukan bomba Cyberjaya,” katanya.-MalaysiaGazette