Alaa Abdel Fattah. foto AP

KAHERAH – Aktivis terkemuka Mesir, Alaa Abdel Fattah dijatuhi hukuman penjara lima tahun semalam, kata sumber kehakiman, selepas dibicarakan atas tuduhan menyebarkan berita palsu.

Blogger Mohamed Ibrahim dan peguam Mohamed El-Baqer, yang menghadapi pertuduhan yang sama, dijatuhi hukuman empat tahun.

Ketiga-tiga mereka telah ditahan sejak September 2019.

Abdel Fattah, seorang aktivis terkemuka dalam pemberontakan 2011 yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak selepas tiga dekad berkuasa, sebelum ini pernah dipenjarakan selama lima tahun pada 2014 dan dibebaskan pada 2019.

Keluarga Abdel Fattah telah mengadu tentang syarat penahanannya.

“Dia dinafikan akses kepada buku, radio, jam tangan dan dia dilarang berjalan (di luar sel penjaranya). Dia tidak meninggalkan sel penjaranya sama sekali kecuali apabila kami melawatnya atau jika dia menghadapi pendakwaan di mahkamah,” kata ibu Abdel Fattah, Leila Soueif sebelum perbicaraan.

Kakak Abdel Fattah, Sanaa Seif, dijatuhi hukuman penjara setahun setengah pada Mac atas tuduhan yang sama selepas menyeru supaya banduan dibebaskan semasa pandemik Covid-19.

Kerajaan Mesir telah menafikan tuduhan mengenai keadaan penjara.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Ned Price berkata, Washington “kecewa” dengan keputusan itu.

Katanya, wartawan dan pembela hak asasi manusia seharusnya dapat menggunakan kebebasan bersuara tanpa menghadapi hukuman jenayah.

Pentadbiran Presiden Joe Biden pada September berkata, ia akan menahan bantuan ketenteraan bernilai AS$130 juta kepada Mesir sehingga Kaherah mengambil langkah khusus berkaitan hak asasi manusia, tetapi Price semalam enggan menyatakan sama ada bantuan tambahan boleh ditahan atau sebaliknya.

”Kami telah menekankan kepada kerajaan Mesir bahawa hubungan dua hala diperkukuh dengan meningkatkan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan kami akan terus melibatkan Kerajaan Mesir untuk mempromosikan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia sejagat yang lain,” kata Price.

Kementerian Luar Mesir ketika diminta mengulas perkara itu berkata, adalah tidak wajar untuk mengulas mengenai keputusan kehakiman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast